Wasiat Imam Syafie SEBELUM Imam Syafie
pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat
Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara".
PERTAMA:
HAK KEPADA DIRI Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
KEDUA:
HAK KEPADA MALAIKAT MAUT Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang
tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
KETIGA
: HAK KEPADA KUBUR Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang
tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang
yang dizalimi.
KEEMPAT:
HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar,
meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
KELIMA
: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)Iaitu : Menahan
kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung
kesusahan.
KEENAM
: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) Iaitu
: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman
dan suka berjemaah.
KETUJUH
: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) Iaitu : Menangis lantaran takutkan
Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan
serta sembunyi dan memperelok akhlak.
KELAPAN
: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) Iaitu : Berasa redha dengan
Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan
bertaubat dari melakukan maksiat.
KESEMBILAN
: HAK KEPADA NABI S.A.W Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang
dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat,
dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
KESEPULUH
: HAK KEPADA ALLAH SWT Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah
manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.